Kerjaya A. Bakar Ali

Bakar Ali memulakan kerjayanya di Malay Film Productions pada 16 November 1947 sebagai buruh kasar dengan melakukan pelbagai kerja termasuk mengangkat kamera dan membantu kru filem yang pada masa itu sedang membuat penggambaran filem Pisau Berachun arahan B.S. Rajhans yang dibintangi oleh Kasma Booty dan Bachtiar Effendi.[3][4][6]

Di MFP, beliau bertemu dengan P. Ramlee semasa Ramlee baru bertugas di studio itu.[7] Kefahaman Bakar tentang penggambaran sesebuah filem membolehkan beliau diberi kepercayaan sebagai Penolong Jurugambar kepada Koh Jee Soon untuk filem Kembar (1950) arahan S. Ramanathan dibintangi M. Amin, Mariam, Daeng Harris dan Jaafar Wiryo. Selepas menjadi Penolong Jurugambar untuk 4 filem di MFP, Bakar meletak jawatan, kemudian bekerja secara sambilan di Nusantara Films Company sehingga studio itu menutup operasinya. Beliau kemudian dipelawa oleh Ho Ah Loke untuk bekerja di Rimau Film Productions yang menerbitkan dua filem, Bunga Percintaan dan Untok Sesuap Nasi, dua-duanya diarahkan oleh L. Krishnan dan Mustapha Maarof.[3][8]

Bagaimanapun, pada tahun 1954, Shaw Brothers menawarkan kembali jawatan Penolong Jurugambar kepadanya dengan peranan yang lebih bertanggungjawab, tidak terhad seperti filem Kembar. Bermula dari tahun tersebut, setelah puas menjadi Penolong Jurugambar kepada Chow Chan Kok, Koh Jee Soon, Vasudev, Purushotham dan Ramachandra, akhirnya pada tahun 1957, Run Run Shaw bersetuju dengan P. Ramlee untuk mengambil Bakar sebagai Pengarah Fotografi filem Pancha Delima dengan bantuan Chow Cheng Kok.[3][4]

Bakae meneruskan kolaborasinya bersama Ramlee dengan sebagai pengarah fotografi filem komedi Bujang Lapok pada tahun 1958. Reputasi beliau sebagai ahli sinematografi juga menerima pengiktirafan apabila filem Sumpah Orang Minyak yang di bawa ke Manila, Filipina untuk dipertandingkan di Festival Filem Asia Pasifik ke-5 (1958) memenangi anugerah Jurugambar Hitam & Putih Terbaik.[9] Selepas itu, beliau menerima tawaran daripada Run Run Shaw dan pengarah Filipina, Lamberto V. Avellana untuk menjadi Pengarah Fotografi filem perang Sarjan Hassan (1958).[3]

Selepas MFP ditutup pada 1967, Bakar bertugas di Filem Negara Malaysia selama 7 tahun, dari 1968 sehingga 1975 apabila beliau mendapat tawaran bekerja di Sabah Film Productions sebagai jurugambar untuk filem Keluarga Si Comat arahan Aziz Sattar dan sebagai Pengarah Fotografi untuk filem Hapuslah Airmatamu arahan M. Amin dan dibintangi oleh Sharifah Aini, Latif Ibrahim, Broery Marantika dan Christine Hakim.[3][4] Selepas bersara dari arena belakang tabir, beliau lebih menfokuskan masanya bersama keluarga.[4][10]

Rujukan

WikiPedia: A. Bakar Ali http://filemklasikmalaysia.blogspot.com/2018/09/a-... http://www.imdb.com/name/nm0019393/ https://www.thepatriots.asia/15755-2/ https://srianggerik.wordpress.com/2018/07/10/pengg... https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised... https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised... https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised... https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised... https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised... https://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised...